Latar Belakang Bahagian Integriti & Pengurusan Risiko

Selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2014 – Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia : Penubuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) telah ditubuhkan menggantikan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) sebagai usaha pemantapan keutuhan sistem pengurusan dan pentadbiran, meningkat tadbir urus terbaik dan mengurangkan karenah birokrasi.

Sehubungan dengan itu, menurut kuasa Perbadanan dibawah Seksyen 8A Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 (No. 4 Tahun 1964) dan Pekeliling Perbendaharaan bil. 09 tahun 1993, PKNS juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti Peringkat Perbadanan (JKTI).
Bermula pada tahun 2012, Bahagian Integriti & Pengurusan Risiko telah diwujudkan bagi menyelaraskan pelaksanaan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti Peringkat Perbadanan (JKTI) serta Sistem Integriti Korporat / Corporate Integrity System (CIS) PKNS.

CIS PKNS adalah satu sistem pengurusan berkaitan pelaksanaan rangkaian dasar dan polisi berkaitan integriti yang diamalkan di PKNS. Sistem ini digunakan sebagai garis panduan bagi melaksanakan inisiatif di samping mendukung visi untuk memperkukuhkan Tadbir Urus Korporat dan menerapkan budaya kerja berintegriti tinggi di kalangan anggota PKNS. CIS didasari oleh tujuh (7) elemen seperti berikut:

  1. Struktur Tadbir Urus
  2. Polisi dan Prosedur
  3. Deklarasi
  4. Integrity pact
  5. Pengurusan tender dan kontrak
  6. Polisi Whistleblowing
  7. Pengurusan risiko
Fungsi dan skop tugas Bahagian Integriti & Pengurusan Risiko merangkumi Tadbir Urus, Pengukuhan Integriti,Pencegahan & Pemantauan Aduan Integriti, Pengesanan dan Pengesahan serta Pematuhan & ARR 1972.

Seiring dengan perkembangan semasa dan perubahan persekitaran perniagaan, pada tahun 2016, Bahagian ini turut diberikan tanggungjawab untuk pelaksanaan Pengurusan Risiko yang merangkumi skop tugas Pengurusan Risiko Perniagaan / Enterprise Risk Management (ERM) dan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan / Business Continuity Management (BCM). Lantaran itu, nama Bahagian Pengurusan Organisasi & Integriti ditukarkan kepada Bahagian Integriti & Pengurusan Risiko pada Mac 2017 sebagai cerminan tugas dan tanggungjawab yang dipikul dalam memastikan pelaksanaan pengurusan risiko yang teguh dan bersepadu supaya PKNS terus berdiri mampan sebagai peneraju Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri di Malaysia.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor - Bahagian Integriti & Pengurusan Risiko (IPR)